Monday 16 May 2011

SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN MAAHAD JOHOR.

PENGENALAN
Maahad Johor ialah Sekolah Menengah Tinggi (Arab) Negeri Johor yang diwujudkan dengan tujuan untuk meninggikan syiar Islam yang bukan sahaja menekankan bidang agama malah akademik jua. Maahad Johor juga adalah merupakan antara pusat pengajian di negeri Johor yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar yang masih terus bertahan dari mula penubuhannya pada 1960 sehingga kini.Semenjak ia ditubuhkan, Maahad Johor telah menunjukkan kecemerlangannya dari segi akademik dan juga ko-kurikulumnya walaupun menghadapi beberapa cabaran dan permasalahan. Di samping itu, Maahad Johor juga telah melahirkan ramai ahli ilmuan, ahli koporat serta barisan pemimpin yang berwibawa . LATAR BELAKANG PENUBUHAN MAAHAD JOHOR Maahad Johor adalah merupakan Sekolah Menengah Tinggi Arab yang ulung di negeri Johor yang mula ditaja pada tahun 1958 semasa yang Dipertua Jabatan Agama Johor pada ketika itu ialah Ungku Ismail. Ilham untuk menubuhkan Maahad Johor telah lama wujud iaitu sejak dari zaman Datuk Awang bin Omar (bekas Menteri Besar Johor) lagi. Pada tahun 1958, semasa Datuk Awang memegang jawatan Menteri Besar Johor, suatu perjumpaan telah diadakan di Johor Bahru di antara pegawai-pegawai agama Johor yang terdiri daripada Mufti, Timbalan Mufti, Ketua Kadhi dan pegawai-pegawai agama lain. Di dalam mesyuarat inilah tercetusnya cadangan untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah Arab di Johor Bahru.
Cadangan itu telah dikemukakan oleh Haji Ab.Ghani bin Haji Yahaya, salah seorang pegawai agama di Jabatan Agama Johor ketika itu. Pada peringkat awal inspirasi untuk mewujudkan Maahad Johor ini bermula dari saranan yang dikemukakan oleh Persatuan Pelajar Sekolah “Arab Kluang dan kemudiannya diajukan kepada Jabatan Agama Islam Johor yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Lazim bin Saim. Di dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Menteri Besar tersebut, perkara penubuhan Maahad ini disampaikan oleh Tuan Hj. Abdul Ghani bin Hj. Yahya iaitu pada tahun 1958. Pada mulanya, cadangan untuk menubuhkan Maahad Johor mendapat tentangan yang hebat di kalangan ahli mesyuarat dan berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan oleh ahli-ahli mesyuarat tersebut, ada yang menyokong, ada juga yang menentangnya. Hj Abdul Ghani adalah orang yang paling kuat mendesak supaya Maahad Johor ditubuhkan. Menurut beliau, maksud utamanya adalah untuk melihat sebuah sekolah menengah “Arab yang ulung muncul di negeri Johor sebagai pusat pengajian bagi tujuan memperkembangkan Agama Islam di negeri Johor. Sebab kedua, beliau ingin merealisasikan penubuhan Maahad Johor kerana didesak oleh keadaan masyarakat orang Melayu pada pandangan beliau sangat lemah dalam hal-hal agama pada masa itu. Atas desakan tersebut akhirnya penubuhan Maahad Johor dipersetujui.
sebuah Jawatankuasa Penaja Penubuhan Maahad Johor dibentuk yang terdiri eman orang ahli termasuk seorang pengerusi dan seorang setiausaha,
 Pengerusi : Datuk Hj. Abdul Jalil bin Hj. Hasan
Setiausaha : Hj. Mohammad Nasir bin Hj. Mohammad Ali
Ahli Jawatankuasa : Hj. Ismail bin Omar Abdul Aziz Hj.
  Abdul Ghani bin Hj. Yahya
  Cikgu Talib bin Kasim Syed Othman bin Ali Al-Idrus
Penubuhan Maahad Johor ini pada peringkat asalnya tiada dalam dasar kerajaan Johor untuk mengadakan sekolah-sekolah Arab tetapi kerana persetujuan telah dibuat untuk menubuhkan Maahad Johor di Johor Bahru, maka kerajaan Johor telah bersetuju dan merestui penubuhannya yang menggunakan bahsa penghantar “Bahasa Arab” dan seterusnya memberi bantuan kewangan bagi mendirikan bangunan Maahad Johor. Namun demikian kerajaan negeri tidak dapat memberikan perbelanjaan seratus peratus terhadap projek tersebut.
Pejabat Agama Islam Johor telah mengarahkan bahagian Zakat dan Baitulmal supaya mengelolakan dan mendirikan bangunan Maahad Johor di atas sebidang tanah kurniaan kerajaan negeri Johor di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru. Berdasarkan fakta-fakta di atas akhirnya Maahad Johor dapat didirikan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Bangunan Maahad Johor telah dirasmikan pembukannya oeh yang Dipertua Jabatan Agama Islan Johor pada 17 Oktober 1960 iaitu Datuk Raja Hj. Omar bin Chik yang dihadiri oleh beberapa orang Pegawai Kanan kerajaan negeri Johor, para ibu bapa dan pelajar-pelajar yang pertama menjadi penuntut di sekolah tersebut.
TUJUAN PENUBUHAN
Tujuan penubuhan Mahaad Johor di antaranya ialah:
• Meninggikan pelajaran agama Islam, Bahasa Arab dan yang berkenan dengannya.
• Melahirkan penuntut-penuntut yang layak melanjutkan pelajaran ke kolej-kolej dan ke universiti-universiti.
• Melahirkan penuntut-penuntut yang layak untuk menjadi bakal guru agama, imam-imam, kadhi-kadhi, pendakwah-pendakwah agama, pemimpin-pemimpin agama dan sebagainya.
• Untuk menghasilkan golongan-golongan cerdik pandai dan intelek Islam di dalam pelbagai bidang bagi memenuhi kehendek dan keperluan masyarakat lagi syiar Islam khususnya di negeri Johor.
LOKASI DAN BANGUNAN MAAHAD JOHOR
Bangunan asal Maahad Johor terletak di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru. Kedudukannya agak strategik dan selesa untuk dijadikan tempat menimba ilmu. Ia terletak kira-kira 4 kilometer dari bandar Johor Bahru iaitu ibu negeri Johor. Kedudukan bangunan Mahaad Johor itu berhadapan dengan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI). Tapak bangunan tersebut adalah kurnia daripada kerajaan Johor.Kemudian Jabatan Agama Islam Johor telah mengarahkan Tuan Hj. Othman bin Muhammad Amin iaitu Pemeriksa Tanah Wakaf dan Perkuburan diberi amanah untuk mengendalikan urusan pembinaan bangunan Maahad Johor.
Bangunan ini telah dibiayai sepenuhnya oleh wang peruntukan Bahagian Zakat dan Fitrah Negeri Johor (Baitulmal Johor). Menurut keterangan yang diberikan oleh Ustaz Abdul Manan bin Abdul Majid, bahawa bangunan asal Maahad Johor adalah bangunan sementara sahaja. Maka bangunan yang dibina itu tidaklah seperti bangunan besar bertingkat, sempurna dan lengkap segala peralatan seperti bangunan-bangunan sekolah yang lain. Ia hanya sebuah bangunan yang mengandungi: 1. Sebuah bilik kelas 2. Sebuah bilik pejabat 3. Sebuah bilik untuk dijadikan asrama pelajar-pelajar, tetapi tidak dapat menampung bilangan pelajar yang ramai dan kebanyakkannya tinggal di luar. Ia juga tidak mempunyai bilik guru dan kantin sekolah.
PENTADBIRAN MAAHAD JOHOR
Maahad Johor sebagai sebuah institusi maka ia memerlukan satu pentadbiran yang cekap untuk memastikan kejayaannya.pentadbiran yang baik boleh menghasilkan keberkesanan dan kebaikan yang dapat dinilai oleh masyarakat dan juga negara. Maahad Johor juga ditubuhkan pada tahun 1960 diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Zakat dan Fitrah, Jabatan Agama Islam Johor. Pada 19hb. Februari 1979 adalah tarikh rasmi seluruh Pentadbiran Maahad Johor diambil alih oleh Majlis Agama Islam Johor. Jawatankuasa Pendidikan dan Kebajikan yang berada di bawah Majlis Agama Islam Johor yang juga sebagai pengelola telah bertindak membentuk sebuah jawatankuasakecil yang bertanggungjawab mengendalikan segala urusan yang berhubung dengan Maahad Johor.
Tugas-tugas Jemaah Pengurus Maahad Johor adalah seperti berikut:
a) Menentukan dasar pelajaran Maahad.
b) Mengesahkan sijil-sijil Maahad dan mendapatkan pengiktirafan pihak-pihak yang berkenaan.
c) Mengesahkan dan membuat apa-apa perubahan yang perlu tentang sukatan pelajaran.
d) Menyediakan peraturan yang berhubung dengan kemajuan Maahad Johor dari semasa ke semasa dan menentukan bayaran belajar di Maahad, bayaran asrama, bayaran memasuki peperiksaan, sijil dan lain-lain.
e) Melantik jawatankuasa pemilihan guru-guru Maahad dan kakitangannya.
f) Mengiktirafkan punca-punca kewangan Maahad.
g) Mengesahkan perbelanjaan tahunan Maahad.
h) Bertanggungjawab berkenaan dengan pentadbiran Maahad menurut sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Maahad dari semasa ke semasa.
i) Memberi notis kepada kakitangan Maahad yang telah digantung kerjanya untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas mereka. (Peraturan Maahad Johor, 1968)
MAJLIS MAAHAD
Tertubuhnya satu majlis yang dinamakan ”Majlis Maahad Johor” mempunyai fungsi bagi menjalankan sebarang perkara bagi pihak Maahad perutama dari segi pentadbiran.
AHLI-AHLI MAJLIS MAAHAD JOHOR
1. Pengerusi : Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor
2. Setiausaha : Pengetua Maahad Johor
3. Bendahari: Seorang daripada pegawai Majlis Agama Islam Johor
4. Jawatankuasa: i. Penolong Mufti Johor
ii. Kadhi Besar Johor
iii. Setiausaha Jabatan Agama Islam Johor
iv. Pemeriksa Sekolah-Sekolah Arab Johor
v. Pemeriksa sekolah-sekolah Agama Johor
vi. *Seorang daripada ahli Majlis Agama *Seorang daripada ahli jawatankuasa zakat, yang dipilih oleh Majlis Agama dan jawatankuasa zakat selama menjadi ahli dalam majlis dan jawatankuasa itu.
Kuasa Majlis Maahad adalah seperti berikut:
1. Membentuk asas, dasar dan rancangan-rancangan bagi kemajuan Maahad.
2. Menyelesaikan sebarang perselisihan dala urusan Maahad.
3. Menggunakan wang-wang di bawah kawalan yang difikirkan patutu daripada suatu masa ke suatu masa yang mendatangkan faedah bagi Maahad.
4. Membuat anggaran perbelanjaan Maahad dan meneutukan gaji guru-guru dan kakitangannya.
5. Menerima guru-guru dan kakitangan Maahad dam memecatnya serta mengesahkan penerimaan penuntut-penuntut.
Dengan wujudnya Jawatankuasa Jemaah Pengurus Maahad dan juga Majlis Maahad ini, maka jentera pentadbiran Maahad Johor dapat dijalankan dengan licin dan teratur. Terdapat hubungan yang erat di antara Jawatankuasa Jemaah Pengurus Maahad dan Majlis Maahad dengan pihak Pengetua dan kakitangan Maahad dalam melaksanakan segal urusan Maahad supaya segala masalah yang timbul berhubung dengan perjalanan Maahad Johor dapat diselesaikan dan pembangunan serta kemajuan Maahad Johor dapat dicapai baik dam memuaskan.
STRUKTUR PENTADBIRAN DALAMAN MAAHAD JOHOR
Organisasi pentadbiran dalaman Maahad Johor adalah penting bagi menentukan perjalanan sekolah itu dapat dengan lancar dan licin. Struktur pentadbiran Maahad yang diketahui oleh Pengetua yang dibantu oleh dua orang penolong kanan iatu Penolong Kanan Satu dan Penolong Kanan Dua. Penolong Kanan Satu yang biasanya diberi tugas mengurus hal ehwal akademik dibantu ketua-tua mata pelajaran. Manakala Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar pula dibantu oleh beberapa orang guru yang diberi tugas seperti disiplin, kaunseling, dan kokurikulum. Dalam organisasi pentadbiran sekolah ini, mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, ikhlas dan bekerja dengan bersungguh-sungguh walaupun menghadapi beberapa masalah dan cabaran demi menigkatkan mutu pendidikan dan menaikkan nma sekolah agar setanding dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.
SUMBER KEWANGAN MAAHAD JOHOR
Berhubung dengan sumber kewangan Maahad, bangunan Maahad Johor yang pertama yang terletak di Jalan Datin Halimah,Lakin Lama, Johor Bahru adalah dibiayai penuh oleh Jawatankuasa Zakat Negeri Johor dan di samping itu mendapat sedikit bantuan daripada kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat. Untuk menampung segala keperluan dan kelengkapan supaya Maahad dapat ditadbir dengan baik dan licin. Kerajaan negeri memberikan peruntukan kewanagan sebanyak tiga puluh ringgit bagi seorang penuntut setahun, manakala pusat menyumbangkan jumlah wang yang sama bagi setiap pelajar iaitu tiga puluh ringgit setahun. Selain daripada itu, kewangan dari sumber pungutan yuran daripada pelajar-pelajar sebanyak sepuluh ringgit sebulan bagi seorang pelajar. Walaupun begitu, ia masih tidak mencukupi untuk membiayai segala keperluan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar. Maka dengan keadaan tersebut, Maahad Johor adalah dalam serba kedaifan. Apabila Maahad Johor diambil alih pentadbirannya oleh Majlis Agama Islam Johor pada tahun 1979, maka semua perbelanjaan pengurusan yang bersangkutan dengannya dibiayai oleh kerajaan negeri. Setelah kerajaan negeri mengambil alih pentadbiran, institusi ini telah membawa banyak perubahan-perubahan dari sudut pentadbiran dan pengelolaan seperti penambahan alat-alat bantuan mengajar, perubahan gaji guru-guru dari bentuk elaun kepada skim gaji Kementerian Pelajaran dan lain-lain lagi.(Abdul Mubin bin A. Ghani, 1987: 29).
Oleh kerana Maahad Johor pada masa sekarang ini telah dinaikkan taraf kepada Sekolah Berasrama Penuh, maka sudah tentunya memerlukan satu perbelanjaan yang besar untuk menyediakan segala keperluan, kemudahan dan kelengkapan sekolah seperti sekolah-sekolah berasrama penih lain. Semua perbelanjaan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Johor. Di samping itu juga, ia mendapt sumber kewangan daripada kerajan negeri Johor dan juga daripada yuran-yuran pelajar. Kerajaan pusat juga memberi bantuan kepada Maahad dalam beberapa bentuk skim bantuan fi antaranya ialah Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar-pelajar.
Pendek kata pada ketika ini, sumber kewangan Maahad Johor sudah tidak menjadi masalah jika dibandingkan dengan sebelumnya. Segala peruntukan kewangan yang diberikan oleh Majlis Agama Islam kepada Maahad adalah ditadbir sendiri oleh Maahad Johor. Ini tidak berlaku pada masa-masa sebelumnya yang dikawal oleh Majlis Agama Islam Johor. Hanya pada perkara-perkara yang melibatkam perbelanjaan yang besar, maka ia perlu merujuk kepada Majilis Agama Islam untuk mendapatkan kelulusan daripadanya. Maahad juga diberi kuasa membuka akaunnya sendiri untuk membiayai alat-alat keperluan seperti peralatan sukan dan sebagainya.
TENAGA GURU DAN KAKITANGAN MAAHAD JOHOR
Pada peringkat awal setelah tertubuhnya Maahad Johor pada tahun 1960 hanya mempunyai dua orang guru dan kedua-duanya guru lelaki. Di antara yang dapat dikenal pasti ialah Ustaz Ariffin bin Awang dan Ustaz Khudhairi bin Hj. Dainuri. Menurut kenyataan daripada Ustaz Abdul Manan bin Abdul Majid, iaitu bekas guru Maahad Johor bahawa dalam beberapa tahun daripada pembukaan Maahad Johor, ia tidak mempunyai kakitangan sama ada kerani ataupun pembantu pejabat dan segala urusan yang berkaitan dengan Maahad dilakukan oleh Pengetua sendiri iaitu Ustaz Ariffin bin Awang. Pada beberapa tahun kemudian, bilangan pelajar telah bertambah dari setahun ke setahun pada tahun 1978, bilangan pelajar Maahad Johor adalah seramai 320 orang.
Peningkatan bilangan pelajar ini memerlukan pertambahan tenaga guru yang ramai bagi menghasilkan pencapaian klulusan yang baik. Pada tahun 1978, Maahad Johor mempunyai sembilan orang guru yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar yang mengajar dalam bidang agama dan tiga guru akademik yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan, Sijil Pelajaran Malaysia, Federation Of Malaysia Certificate dan Malaysian Certificate Of Education. Dari segi kakitangan pula, Maahad hanya mempunyai seorang kerani, seorang pembantu pejabat dan seorang tukang kebun dan ini berterusan sehingga Maahad Johor berpindah ke bangunan barunya ia Jalan Gertak Merah, Johor Bahru pada akhir tahun 1992. Pada tahun 1982 bilangan tenaga guru telah bertambah jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya kepda lima belas orang iaitu sebelas orang jurusan agama dan empat orang guru akademik. Pada tahun-tahun berikutnya, tahun 1989 bilangan guru-guru di Maahad Johor telah menigkat kepada sembilan belas orang gurusemuanya, empat belas daripada mengajar mata pelajaran Bahasa Arab dan selebihnya mata pelajaran akademik. Pada tahun 1995, bilangan guru telah bertambah kepada dua puluh tujuh orang guru iaitu dua puluh satu orang guru jurusan Arab dan enam orang guru akademik. Bertambahnya bilangan guru ini disebabkan penigkatan bilangan pelajar yang menutu di Maahad Johor serta penigkatan kayakinan dan kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang kemampuan Maahad Johor sebagaia satu institusi pendidikan agama yang boleh dianggap cemerlang dan setanding dengan institusi-institusi agama yang lain.
Bilangan kakitangan Maahad Johor pada tahun 1995 yang telah menigkat kepada enam orang iaitu seorang pembantu tadbir, seorang pembantu pejabat, seorang jurutaip, seorang tukang kebun dan dua orang penyelia asrama. Mengikut kedaan sekolah yang mempunyai bilangan pelajar dan guru yang ramai,maka ia memerlukan kakitangan yang ramai supaya segala urusan pentadbiran yang berkait dengan guru-guru, pelajar-pelajar, bangunan dan berkait dengan pentadbiran dapat dijalankan dengan lancar.
Menurut pegawai pembantu tadbiran Maahad Johor iaitu Encik Othman Kamal bin  Mahad bahawa Maahad Johor sekarang ini hendaklah mempunyai dua atau tiga orang kerani untuk urusan yang berkait dengan pelajar dan seorang kerani untuk urusan sekolah dan guru. Pada pandangan beliau lagi, dua orang kerani sudah mencukupi untuk menyelasaikan segala masalah. Jika ada seorang kerani sahaja, beliau akan hanya mendahulukan perkara-perkara yang benar-benar mustahak sahaja. Untuk melicinkan perjalanan pentadbiran Maahad, beliau membahagikan tiga peringkat Pertama perkara yang segara. Kedua yang kurang segera Ketiga yang tidak memerlukan tindakan segera seperti kira-kira stok.
Walaupun jumlah guru-guru telah meningkat dari setahun ke setahun namun ramai juga bilangan guru yang berhenti dan saling bertukar ganti guru. Ini adalah satu masalah yang dihadapi oleh Maahad dari dahulu sehingga sekarang. Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya sedemikian ialah tiadanya skim khusus perjawatan guru tetp dan berpencen, bonus dan kebajikan yang lain. Masalah resebut sedikit sebanyak telah menjejaskan tumpuan guru untuk memdidik dan juga menjejaskan pembelajaran pelajar-pelajar.
SYARAT PENGAMBILAN TENAGA GURU
Dalam pengambilan tenaga guru dan kakitangan Maahad Johor mempunyai syarat-syarat tertentu yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam Johor. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran agama Arab mestilah mempunyai sekurang-kurangnya berkelulusan B.A dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta mempunyai diploma pendidikan. Guru-guru itu mestilah warganegara Malaysia dan Rakyat Johor diutamakan. Selain darpda itu, mereka mestilah bermahzab Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah. Akhir sekali mereka berkelakuan baik dan tidak pernah melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang menjatuhkan maruah serta kehormatannya.( Peraturan Maahad Johor, 1968:2). Manakala syarat-syarat pengambilan tenaga guru akademik seperti berikut; mereka mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia serta mempunyai kelulusan Sijil Maktab Perguruan. Guru-guru itu mestilah warganegara Malaysia dan rakyat negeri Johor dan berumur antara 22 hingga 30 tahun. Mereka mempunyai kelakuan baik dan tidak pernah melakukan kesalahan di bawah undang-undang negeri yang menjatuhkan maruah dan kehormatannya dan beragama Islan serta mempunyai pendidikan agama. (Peraturan Maahad Johor, 1968;2).
Syarat-syarat yang ditentukan bagi pengambilan kaitangan Maahad Johor seperti yang ditetapkan oleh mana-mana jabatan lain seperti kerani, jurutaip, pembantu pejabat mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia atau yang setaraf dengannya.
PERATURAN MEMILIH  GURU DAN KAKITANGAN MAAHAD
Guru-guru dan kakitangan Maahad hendaklah dilantik oleh Jemaah Pengurus setelah dipilih oleh jawatankuasa pemilihan guru-guru dan kakitangan. Seseorang guru atau kakitangan itu akan memegang jawatannya menurut syarat yang dinyatakan dalam perturn dan juga syarat-syarat yang dinyatakan dalam perjanjian bertulis di antara guru atau kakitangan itu dengan pihak jawatankuasa Maahad. Bagi pihak Maahad, perjajian ini ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa. (Peraturan Maahad Johor, 1968).
JAWATAN DAN SKIM GAJI
Pada peringkat permulaan, kakitangan Maahad Johor tidak mendapat skim gaji yang memuaskan iaitu gaji guru besarnya hanya berjulah RM360.00 sebulan manakala guru-guru serta kakitangan adalah lebih rendah daripada itu. Keadaan gaji yang tidak seimbang itu terus berlanjutan tanpa adanya skim yang memuaskan sehinggalah pada tahun 1974 di mana pihak pentadbir telah bersetuju menyelaraskan ”Laporan Gaji Aziz”, hinggalah sekarang ini semua kakitangan menerima faedah pengkajian mengikut lapiran gaji kabinet pula. Guru-guru Maahad Johor boleh dibahagikan kepada tiga kategori: 1. Guru-guru tetap 2. Guru-guru sementara 3. Guru-guru kontrak Daripada bilangan guru-guru di Maahad Johor, guru-guru sementara dan kontrak adalah antara guru-guru yang paling ramai sekali menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut. Perkara ini berlaku disebabkan masih belum lagu wujud jawatan khusus untuk guru Maahad Johir sehingga sekarang. Dengan sebab itu, ada di antara guru-guru sementara telah berkhidmat lebih daripada sepuluh tahun dan tiada kenaikkan gaji tahunan, manakala bagi guru-guru kontrak yang terpaksa menyambung perkhidmatannya dari setahun ke setahun. Keadaan ini mnyebabkan kedudukan masa depan mreka tidak terjamin, maka ramai di antara guru-guru tersebut mencari peluang pekerjaan yang lebih baik ke tempat lain. Walaupun dalam keadaan demikian, ada di antara mereka guru-guru sementara dan kontrak ini masih setia berkhidmat untuk mencurahkan bakti dan titik peluh mereka demi agama dan anak bangsa mereka.
Menurut tinjauan daripada pendapat dan penjelasan oleh Penolong Pengarah Pendidikan, Bahagian Sekolah-Sekolah Arab dan Maahad di Jabatan Agama Islam Johor iaitu Ustaz Jaafar bin Umar semasa ditemui di di pejabatnya mengatakan, Skim Perjawatan Guru-Guru Maahad masih belum wujud lagi seperti sebelumnya dan skim perjawatan tersebut masih dala proses kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kuala Lumpur. Beliau telah mancadangkan kepada guru-guru sementara di Maahad Johor bahawa mereka hendaklah memohon menukar jawatan guru sementara kepada kontrak supaya dapat membolehkan kenaikkan gaji pada setiap tahun.
PENGETUA MAAHAD JOHOR
Pengetua Maahad Johor yang pertama sejak Mahad Johor ditubuhkan ialah Ustaz Ariffin bin Awang. Berkelulusan M.A. Jurusan Aqidah dan Falsafah, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau telah memegang jawatan Pengetua dari tahun 1975. Manakala Guru Penolong Pengetua ialah Ustaz Ali bin Ismail ynag berkelulusan dari Universiti Al-Azhar juga. Pengetua Maahad Johor yang kedua ialah Ustaz Salam Bin Hj. Abdul Rahman. Beliau berkelulusan B.A. Jurusan Aqidah dan Falsafah, Kuliah Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau telah memegang jawatan sebagai Pengetua Maahad Johor dari tahun 1975 sehingga 1992 dan Guru Penolong ialah Ustaz Hj. Mohd. Khudhairi bin Hj. Abdul Jabar. Pengetua Maahad Johor yang ketiga ialah Ustaz Hj. Mohd. Khudhairi. Bin Hj. Abdul Jabar. Beliau berkelulusan B.A. Al-Syariah Wal Qanun Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari Universiti yang sama. Beliaun telah memegang jawatan Pengetua Maahad Johor dari tahun 1992 sehingga ini. Guru Penolong Pengetua pula ialah Ustazah Rohana binti Mohd. Yassin yang berkelulusan B.A. Al-Azhar, Kuliah Al-Banat, Usuluddin (Al-Aqidah dan Falsafah) dan Diploma Pendidikan Ain Al-Syams Qahirah, Mesir.
SYARAT-SYARAT PENERIMAAN PELAJAR KE MAAHAD JOHOR
Setiap pelajar yang mendaftarkan dirinya di Maahad, dikehendaki mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekola. Pada peringkat awal, pihak sekolah tidak mengenakan apa-apa syarat kemasukan yang ketat, yang dikehendaki pada ketika itu ialha pelajar tersebut lulus Syahadah I’dadi Sekolah Rendah Arab negeri Johor atau seumpamanya dan berjay dalam ujian masuk (Imtihn Qabul) yang diwajibkan. Para pelajar yang menuntut di Maahad belum lagi dikenakan syarat lulus akademik, ini kerana pelajar tingkatan satu akan diajar kepada pelajar-pelajar tahun satu di Maahad dan seterusnya mengikut tahun pengajian mereka. Pada ketika itu juga syarat umur bagi bakal pelajar Maahad belum lagi dihadkan. Seterusnya pada beberapa tahun berikutnya, syarat-syarat kemasukan ke Maahad Johor dipertingkatkan demi umtuk menjaga kualiti hasil pencapaian keputusan peperiksaan Maahad.
Pihak Maahad mengenakan syarat-syarat kelayakan yang sekurang-kurangnya lulus Syahadah Ibtidaiyah dengan lulus jaid dari mana-mana Sekolah Arab negeri Johor atau yang setaraf dengannya, mempunyai pelajaran akademik dan lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Mereka tidak melebihi 21 tahun dan seandainya umur mereka melebihi 21 tahun, pengakuan atau pengesahan hendaklah diperolehi daripada Pengerusi Jawatankuasa Maahad. Semenjak Maahad Johor dinaikkan taraf Sekolah Berasrama Penuh, maka syarat-syarat kelayakan unruk memasuki Maahad Johor telah diperketatkan lagi dan tidak seperti tahun-tahun yang sebelumnya Syarat-syarat kemasukan ini ditentukan oleh Majlis Jawatankuasa Pemilihan Pelajar di Pejabat Agama iSlam Johor. Pelajar-pelajar yang diambil adalah pelajar-pelajar yang terbaik sahaja. Seseorang pelajar itu mestilah memiliki Sijil Rendah Pelajaran atau Penilaian Menengah Rendah dan mempunyai pengetahuan akademik tingkatan empat. Mereka juga mesti lulus Sijil Menengah Agama yang sekurang-kurangnya dengan lulus pangkat jaid. Mereka mesti berumur tidak melebihi 17 tahun. Kuasa pengambilan pelajar, pihak Majlis Agama Islam Johor khususnya bahagian Pendidikan agama hanya membuat penyelarasan pengambilan pelajar-pelajar dan kemudian kuasa pengambilan pelajar-pelajar diberi sepenuhnya kepada pihak Maahad untuk menguruskan berapa ramai pelajar yang dikehendaki oleh Maahad bergantung kepada tempat kekosongan tempat belajar dan Pihak Majlis Agama hanya menawarkan pelajar-pelajar yang terbaik sahaja.
Data di bawah diringkaskan bahawa kelayakan masuk ke Maahad Johor sejak ia ditubuhkan sehingga sekarang ialah seperti berikut. Kelulusan Tempoh diperakukan
1. Sijil Syahadah Al I’dadiyah Tahun 1960 hingga 1970
2. Sijil Syahadah Al’idadiyah dan Sijil Rendah Tahun 1971 hingga 1984 Pelajaran
3. Sijil Al’idadiyah dan Tingkatan Empat Akademik Tahun 1985 hingga 1994
4. Sijil Menengah Agama dan Sijil Pelajaran Tahun 1995 Malaysia
ALIRAN PELAJARAN DI MAAHAD JOHOR
Maahad Johor telah menyediakan dua aliran pelajaran kepada penuntut-penuntutnya, iaitu mata pelajaran Agama/Arab dan mata pelajaran akademik. Mata pelajaran akademik ini adalah sangat penting bagi memenuhi syarat-syarat perjawatan. Pelajaran untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran ini mula diperkenalkan di Maahad Johor pada awal tahun 1960. bagi pelajaran-pelajaran tahun satu, mereka akan diajar mata pelajaran akademik tingkatan satu dan seterusnya pelajar-pelajar di tahun tiga diajar pelajaran akademik tingkatan tiga serta menganbil peperiksaan Sejil Rendah Pelajaran tersebut. Tetapi ketika mereka berada di tahun empat Maahad, para pelajar tidak lagi belajar pelajaran akademik, bahkan mereka diberikan tumpuan kepada pelajaran Agama/Arab Thanawi empat sahaja sehingga tahun 1970. Mulai pada tahun 1971 dan seterusnya Maahad tidak lagi menyediakan pelajaran akademik untuk tingkatan satu dan dua, kerana para pelajar yang masuk ke Maahad dalam tahun pertama akan terus diberikan pelajaran akademik tingkatan tiga dan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun tersebut. Ini bererti para pelajar semasa berada pada tahun kedua Maahad, mereka akan terus belajar akademik tingkatan empat dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajran Malaysia di tahun ketiga Maahad Johor. Sementara itu, pelajaran untuk Sijil Pelajaran Malaysia pula mula diajar di Maahad Johor pada awal tahun 1973 dan masih kekal sehingga ke hari ini.
Pelajaran akademik tingkatan satu hingga empat pada ketika ini sudah tiada lagi diajar kepada pelajar-pelajar Maahad kerana mereka boleh menduduki Sijil Rendah Pelajaran di Sekolah Arab daerah masing-masing. Pelajar-pelajar pada tahun kedua pula diwajibkan mengambil peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia, kerana mereka ketika berada pada tahun tiga akan mengambil peperiksaan Sekolah Menengah Agama dan di samping itu mempelajari akademik tingkatan enam bawah. Seterusnya pada tahun keempat, mereka akan mempelajari mata pelajaran Thanawi Empatdan mata pelajaran akademik tingkatan enam atas dan akan mengambil dua jenis peperiksaan serentak pada tahun yang sama.
Tegasnya sekarang ini, setiap pelajar yang keluar dari Maahad Johor akan menerima empat sijil peperiksaan iaitu:
1. Sijil Pelajaran Malaysia iaitu diambil pada ke II
2. Sekolah Menengah Agama, ia diambil semasa tahun ke III
3. Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diambil semasa tahun ke IV
4. Sijil Thanawi Empat (STA) Maahad Johor, diambil juga pada tahun ke 4
Tujuan Maahad Johor memperkenalkan aliran akademik di dalam kokurikulumnya ialah untuk membolehkan para pelajarnya memperluaskan bidang ilmu pengetahuan mereka dalam pelajaran berbentuk akademik agar mereka yang tidak nerpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang kebih tinggi (universiti di dalam atau luar negeri) dalam bidang Agama dan Arab dapat menggunakan kelayakan akademik mereka untuk melanjutkan dalam bidang mata pelajaran akademik atau mencari pekerjaan seperti guru Bahasa Melayu atau kerani. Dengan ini sekurang-kurangnya ada jalan keluar bagi pelajar-pelajar yang gagal dan kurang bernasib baik dala bidang mata pelajaran Agama dan Bahasa Arab.
Dalam hal kemasukan akademik ke dalam kurikulu Maahad Johor ini, jelas kelihatan suatu pemecahan tardisi berlaku dalam mana tujuan asal penubuhan Maahad hanya kepada pelajaran aliran Agama/ Arab sahaja. Keadaan ini berlaku kerana Maahad terpaksa mengikut aliran perubahan zaman dan kehendak pelajar dan masyarakat di mana penumpuan 100% terhadap aliaran pelajaran Agama / Arab dengan harapan supaya keseluruhan pelajar Maahad Johor mencapai kelulusan dalam bidang Agama/ Arab nampaknya tidak dapat dipertahankan lagi. Pada hakikatnya lepasan dari sekolah-sekolah Agama dan termasuklah dari Maahad Johor tidak mempunyai nilai ekonomi tertentu. Walaupun seseorang pelajar itu telah menghabiskan masa dan tenaganya yang sekuarang-kurangnya lapan tahun, tetapi kelulusannya hanya merupakan satu keperluan sampingan sahaja. Contohnya, seorang bakal calon guru Agama yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia, maka sudah tentunya ia tidak berpeluang unruk menjadi seorang guru dengan hanya Sijil Empat Thanawi sahaja. Maka debgan sendirinya, ternyata kelulusan Arab sahaj dari segi ekonomi tidak ada. Bidang-bidang pekerjaan lain juga adalah terbatas jika tanpa kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh yang demikian, atas sebab-sebab di atas maka sekolah-sekolah Agama/ Arab dan juga termasuk Maahad Johor memperkenalkan pelajaran akademik di dalam sukatan pelajaran mereka. ( Abdul Mutalib bin Hj. Hashim, 1978: 78)
PEPERIKSAAN
Peperiksaan adalah merupakan alat untuk menguji pencapaian penuntut dalam pelajaran. Ianya dijalankan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis. Maahad Johor telah mengadakan kedua-dua jenis ujian tersebut. Peperiksaan di maahad dijalankan sebanyak dua kali setahun yang dikenali Peperiksaan Setengah Tahun. Kedua-dua peringkat peperiksaan ini mengandungi peperiksaan bertulis dan lisan. Peperiksaan oleh pihak Maahad sendiri. Manakala peperiksaan tahun akhir pengajian (Syahadah Thanawiyah) ia dikendaliakn oleh Lembaga Peperiksaan Syahadah Thanawi Maahad Johor. Peprriksaan yang dijalankan pada pertengahan tahun adalah merupakan ujian Untuk menguji prestasi pelajar, manakala peperiksaan pada akhir tahun adalah untuk menentukan kenaikan tahun pengajian, peperiksaan tersebut adalah pentng juga kerana keputusan peperiksaan itu turut diambil kira penilaian kepada peperiksaan akhir tahun .
Peperiksaan pertengahan tahun bagi pelajar-pelajar tahun empat juga dikendalikan oleh Maahad sendiri sebagai menguji prestasi pelajae sebelum mereka menduduki peperiksaan Syahadah nanti. (Buku Cenderamata Penyampaian Sijil Maahad, 1983: 15). Peperikasaan lisan yang dijalankan di Maahad adalah dikira sebagai satu mata pelajaran. Ia berbentuk hafalan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran, al-Hadith, Rangkap-rangkap Syair dan perbualan dalam bahasa Arab. Petikan hafalan ini diambil dari mata pelajaran berkenaan yang dipelajari di bilik kelas mengikut sukatan pelajaran yang disediakan. Peperiksaan Syahadah Thanawi Empat yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Syahadan Thanawi dan juga mengadakan peperiksaan ulangan (Dur-Thani) bagi peperiksaan akhir pelajar-pelajar tahun empat. Syarat yang dikenakan kepada mereka yang boleh lulus empat mata pelajaran sahaja. Sekiranya lebih daripada jumlah tersebut, maka mereka telah dianggap gagal dalam peperiksaan Syahadah Thanawi . peperiksaan ulangan (Dur-Thani) ini telah dimusnahkan pada tahun 1993, ini bererti pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan tersebut dihendaki lulus dalam semua mata pelajaran Syahadah Thanawi Empat Maahad Johor. Peperiksaan Syahadah Thanawi ini lazimnya diadakan pada bulan Disember setiap tahun dan keputusannya akan diumumkan pada Mac atau April.
SYARAT-SYARAT MEMASUKI PEPERIKSAAN SYAHADAH MAAHAD JOHOR
Di antara syarat-syarat tersebut seperti berikut:
1. Penuntut Maahad berada pada tahun akhir pengajian di Maahad
2. Membayar yuran yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Syahadah Maahad
3. Penuntut luar daripada Maahad Johor dibenarkan memasuki peperiksaan tersebut dengan syarat:
(a) Membuat permohonan kepada pihak Pengetua Maahad Johor sekurang-kurangnya enam bulan sebelum peperiksaan itu diadakan itu diadakan beserta dengan bayarannya.
(b) Pelajarannya menyemai sukatan pelajaran Maahad Johor.
(c) Lulus di dalam satu ujian kelayakan.
(d) Membayar yuran peperiksaan yang ditetapkan. ( Peraturan Maahad Johor, 1968:7)
LEMBAGA PEPERIKSAAN SYAHADAH THANAWI MAAHAD
Lembaga peperiksaan Maahad ini berperanan untuk menjaga mutu peperiksaan dan Sijil Syahadah Thanawi Empat Maahad. Selain daripada itu, tugas Lembaga peperiksaan tersebut ialah mengendalikan peperiksaan-peperiksaan, menyediakan kertas- kertas soalan, menanda kertas-kertas jawapan, analisis keputusan peperiksaan dan sebagainya. Peperiksaan Syahadah Thanawi Maahad Johor ini dikelolakan oleh sebuah Lembaga Peperiksaan yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Johor yang terdiri daripada:
1. Pengerusi : Timbalan Mufti
2. Setiausaha : Pemeriksa Sekolah-sekolah Arab Johor.
3. Jawantankuasa : i) Qadi Besar Johor. ii) Pegawai Perhubungan Agama Kementerian Pelajaran. iii) Pengetua Maahad Johor dan seorang guru Maahad yang dilantik.
PENGIKTIRAFAN SIJIL MAAHAD JOHOR
Sijil Maahad Johor yang dikenali sebagai Syahadah Thanawi yang dikeluarkan oleh Maahad Johor ini telah mendapat pengiktirafan oleh beberapa buah universiti luar negeri terutamanya di Timur Tengah, seperti Universiti al-Azhar Mesir, Universiti Madinah dan Universiti Jordan di mana pelajar-pelajar keluaran dari Maahad Johor dibenarkan masuk tahun satu pengajian di mana-mana universiti tersebut. Selain daripada itu, Sijil Maahad Johor mendapat pengiktirafan oleh beberapa institusi pengajian tempatan seperti institusi pengajian tinggi Nilam Puri di Kelantan dan Kolej Sultan Zainal Abidin di Terengganu. Tetapi ia masih belum mendapat pengiktirafan daripada buah universiti tempatan, walau bagaimanapun ia telah diusahakan oleh pihak Maahad untuk mendapatkan pengiktirafan. Jika ia mendapat pengiktirafan, ini bererti pelajar-pelajar lulusan Maahad Johor dibenarkan masuk ke tahun satu pengajian di universiti-universiti tempatan dan tidak seperti yang ada masa sekarang ini disertai dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.
Sijil Maahad juga telah mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, di mana pemegangnya boleh melanjutkan pelajarannya ke Makab-Maktab Perguruan terutamanya dalam bidang agama dan ke jawatan pegawai agama yang memerlukan Sijil Empat Thanawi. Dengan pengiktirafan terhadap Sijil Maahad Johor ini adalah menunjukkan bahawa mutu pendidikan di Maahad Johor adalah berkualiti yang dapat menghasilkan pelajar yang berhemah tinggi, berketrampilan dan berwawasan. Buktinya ramai pelajar keluaran Maahad Johor memegang beberapa jawatan tinggi di beberapa jabatan kerajaan dan swata serta menjadi pensyarah-pesyarah di beberapa universiti tempatan.
PRESTASI PEPERIKSAAN
Walaupun Maahad Johor mempunyai dua aliran agama/Arab dan aliran akademik, namun pelajar-pelajarnya masih mampu menghadapi pelajar tersebutsehingga berjaya menamatkan pengajian mereka selama empat tahun di Maahad. Dengan adanya dua aliran tersebut, pelajar-pelajar terpaksa menyesuaikan diri kepada keadaan tersebut dengan membahagikan masa. Hal ini tidak tidak berlaku di sekolah-sekolah yang mempunyai satu aliran pelajaran sahaja.
AKTIVITI PELAJAR
Aktiviti-aktiviti pelajar di Maahad Johor dijalankan melalui persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang ditubuhkan. Badan induk persatuan pelajar yang ada di Maahad itu dikenali sebagai ‘Lajnah”. Ini merupakan satu badan induk yang menggerakkan semua aspek kegiatan pelajar-pelajar dan juga merupakan satu badan pelajar yang hampir dengan guru-guru untuk menigkatkan prestasi pelajar dalam bidang kokurikulum di Maahad Johor. Lujnah yang ditubuhkan di Maahad ini adalah bertujuan untuk membantu para pelajar supaya dapat menampilkan diri sebagai seorang pelajar yang berkebolehan dalam segala bidang melalui persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang ditubuhkan di sekolah. Ia dikendalikan oleh ahli jawatankuasa tertinggi yabg terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa kecilnya.
Di antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pelajar-pelajar di Maahad pada masa lalu kebanyakkan adalah berbentuk kerohanian, kepimpinan dan sebagainya kerana ia bersesuaian dengan latar pendidikan sebagai sekolah aliran agama. Contoh aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah ini ialah seperti syarahan, pementasan, perdebatan, forum, majlis Maal Hijrah, Maulud Nabi s.a.w dan sebagainya. Aktiviti yang paling popular dam mengharumkan nama Maahad Johor pada ketika itu ialah syarahan (pidato) dan perdebatan, aktiviti ini telah banyak melahirkan ramai pelajar yang berkilibar dan berkebolehan bercakap dengan fasih dan lancar. Banyak penyertaan dalam pertandingan yang diadakan di sekolah-sekolah di sekitar Johor Bahru. Tidak kurang juga Maahad telah banyak merangkul juara perbahasan dan syarahan dengan sekolah-sekolah yang terkenal seperti Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, Maktab Perguruan dan lain-lain dan sekaligus mengharumkan nama Maahad Johor di sekitar tahun 70-an dan 80-an. Walaupun dalam keadaannya serba kekurangan dengan kelengkapan dan kemudahan yang ada di sekolah, namun ia tidak menjadi halangan kepada pelajar-pelajar Maahad untuk melakukan aktiviti-aktiviti di dalam beberapa buah persatuan dan kelab yang terdapat di dalam badan Lajnah. Bahkan ianya telah menunjukkan kemampuan untuk mengcungkil bakat-bakat yang ada pada pelajar-pelajar. Untuk mengcukil bakat-bakat tersebut, badan induk persatuan pelajar ini telah mengatur beberapa program yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar
Antara program tersebut dengani mengadakan beberapa pertandingan. Selain daripada itu juga, pihak persatuan telah mengadakan program kesenian dan kebudayaan sepanjang tahun dengan mengadakan kelas seni kaht, lukisan dan lain-lain lagi. Untuk melahirkan masyarakat penyayang kepada sekolah dan menjaga keindahan sekolah, badan Lajnah ini telah mengambil peranan dengan mengadakan program gotong-royong yang diadakan setiap tahun seperti mengindahkan sekolah, yang membabitkansemua pelajar sama ada pelajar baru atau lama. Aktiviti-aktiviti dalam bidang sukan yang ada di Maahad adalah agak terhad sekali keadaannya dan tidak dapat menjalankan secara bersistematik. Ini disebabkan beberapa faktor, di antaranya ialah tidak kemudahan, kelengkapan dan peralatan yang tidak mencukupi untuk bersukan. Ini bukan bermakna tiada aktiviti sukan di Maahad tetapi hanya sedikit permainan sepak takraw, badminton dan ping-pong. Sukan tersebut diadakan pada waktu petang bagi mengisi masa lapang dan memanaskan badan sahaja. Setelah Maahad berpindah ke bangunan barunya di Kompleks Maahad yang terletak di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru dan juga sebagai sekolah berasrama penuh yang mempunyai segala kemudahan , kelengkapan dan peralatan yang diperlukan. Maka banyaklah aktiviti yang dijalankan di Maahad sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah mahupun dari pelajar-pelajar itu sendiri yang telah diprogramkan sepanjang tahun. Pendek kata, masa yang ada pada pelajar-pelajar adalah penuh dengan aktiviti di samping sibuk dengan kurikulum.
Namun begitu pelajar-pelajar tersebut masih mampu untuk menyertai aktiviti-aktiviti bagi mempersiapkan diri sebagai pelajar yang berkebolehan dalam semua bidang. Bahkan pelajar-pelajar Maahad adalah setanding dengan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah yang terkenal di sekitar Johor Bahru. Banyak kejayaan-kejayaan yang mencapai oleh pelajar-pelajar Maahad ini sangat dikagumi dan disegani oleh pelajar-pelajar dan guru-guru dari sekolah lain dan masyarakat disekitarnya. Walaupun bagaimanapun, pihak sekolah menghadapi masalah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah diprogramkan. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan iaitumasa yang terbatas. Waktu persekolahan di sebelah pagi penuh dengan waktu belajar dan pada sebelah petangnya, sebahagian daripada pelajar-pelajar terpaksa menghadiri kelas-kelas tambahan bagi mata pelajaran akademik kerana waktu yang diberikan tidak mencukupi untuk menghabiskan silibusnya. Waktu yang sesuai untuk mengadakan aktiviti-aktiviti tersebut hanyalah pada hari Sabtu sahaja. Untuk meningkatkan pengetahuan dan kebolehan pada pelajar-pelajar Maahad, pihak sekolah telah mengaturkan beberapa program aktviti melalui beberapa persatuan dan kelab yang dapat memberikan manfaat kepada mereka di bawah guru penasihat yang berdedikasi, seperti mengadakan lawatan-lawatan di antara sekolah-sekola untuk menimba pengetahuan baru. Contohnya, beberapa orang pelajar dari Kelab Perpustakaan Maahad telah dihantar untuk berkursus di Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai untuk mempelajari perkara-perkara yang berkaitan dengan perpustakaan. Di mana pelajar tersebut akan mempunyai pengalaman dan kemahiran yang luas sehingga mereka mampu mengendalikan perpustakaan di Maahad Johor.
DI ANTARA TOKOH-TOKOH DARIPADA KELUARAN MAAHAD JOHOR
Sebenarnya Maahad Johor telah berjaya melahirkan ribuan tokoh-tokoh ilmuan dan cendiakawan yang besar peranannya serta sumbangannya kepada masyarakat sejak ia ditubuhkan sehingga sekarang. Di sini dirakamkan beberapa orang tokoh ,
BIL NAMA BIDANG TUGAS YANG DISANDANG
1. YB Ustaz Abdul Kadir bin Anuar Ahli Dewan Undang Kawasan Tambatan, Johor
2. YB Dato’ Yusuf bin Malim Kuning Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johor
3. YB Ustaz Hamzah bin Ramli Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johor
4. Ustaz Ali bin Hj. Ahmad Hakim Besar Mahkamah Syariah, Johor Bahru
5. Ustaz Tahrir bin Dato’ Hj. Kiyai Shamsuddin Pengarah Pendidikan Islam di Majlis Agama Islam Johor
6. Ustaz Jaafar bin Dayat Qadhi Besar Johor Bahru
7. Ustaz Jaafar bin Umar Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Bahagian Sekolah-sekolah Arab dan Maahad di Majlis Agama Islam Johor
8. Ustaz Nasir bin Hj. Amir Penolong Pengarah Pendidikan, Bahagian Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor di Majlis Agama Islam Johor
9. Dr. Mahfuz bin Muhammad Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
10. Ustaz Dr. Amran bin Kasimin Pensyarah Institut Bahasa Kebudayaan Melayu (IBKM), UKM.
11. Ustaz Abdul Rahman bin Rukaini Pegawai Penyunting Bahagian Buku-buku Teks Agama, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur
12. Ustaz Idris bin Ahmad Pegawai Agama Pusat Islam, Kuala Lumpur
13. Ustaz Hj. Supani bin Hussin Pensyarah Institut Teknologi Mara, Cawangan Perak
14. Ustaz Sakijan bin Muri Nazir Persekutuan, Melaka
15. Ustaz Abdul Mubin bin Abdul Ghani Pensyarah Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan
16. Ustaz Abdullah bin Basida’ Qadhi Daerah Pontian, Johor
17. Ustaz Hj. Syaari bin Tibek Pegawai Wakaf Negeri Johor, di Majlis Agama Islam Johor
18. Ustaz Hj. Mursiden bin Mursid Pegawai Dakwah, Majlis Agama Islam Johor
19. Ustaz abdullah bin Umar Pensyarah Institut Teknologi Mara
20. Ustazah Hjh. Siti Rugayah bte Tibek Pensyarah, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia
21. Ustaz Dr. Muddasir bin Rosder Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia
22. Prof. Madya Ustaz Dr. Budah @ Udah bin Mohsin Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia
23. Prof. Madya Ustaz Dr. Sulaiman Yasin Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah , Universiti Kebangsaan Malaysia
24. Ustazah Dr. Zawiyah/ Jawiyah bte Dakir Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia
25. Ustaz Mohd. Khudhari bin Abdul Jabbar Pengetua Maahad Johor
WAWASAN MAAHAD JOHOR
Meletakkan Kedudukan Maahad Johor Di Tempat Yang Tinggi Pihak sekolah akan berusaha dengan sedaya upaya untuk meletakkan kedudukan Maahad Johor supaya berada di tempat yang tinggi dan terkenal dalam bidang pendidikan di Malaysia dan juga di luar negara. Ia juga berazam akan menentukan pendidikan yang ada di Maahad ini akan terus maju ki hadapan dari segi kecemerlangan mutu pendidikan dengan membuat beberapa reformasi serta mengikut perkembangan- perkembangan terbaru. Di samping berusaha meningkatkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan tetapi nilai-nilai akhlak dan moral yang tinggi turut terus dipupuk dlam diri pelajar-pelajar akan terus dipertahankan meskipun ianya menghadapi cabaran-cabaran pada abad yang akan datang. Pelajaran Agama/Arab yang masih dilaksanakan sehingga sekarang ini yang menggunakan basaha Arab sebagai bahasa pengantar akan terus menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan di Maahad. Ia akan dilaksanakan sehingga tiada penghujungnya bgi membezakan sistem pendidikan yang dilaksanakan si sekolah-sekolah yang lain di Johor.
Pihak pentadbiran juga berazam untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap sijil-sijil Maahad Johor daripada beberapa pusat pengajian tinggi di Malaysia yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang Pengajian Islam seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya. Diharapkan dengan mengiktirafkan ini, pelajar-pelajar dari Maahad Johor yang memiliki kelulusan Sijil Empat Thanawi berpeluang masuk terus ke tahun pertama tanpa disertai dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) seperti syarat-syarat kemasukan yang dikenakan pada ketika ini.

1 comment:

  1. Assalamualaikum..saya ingin bertanya, adakah fakta diatas benar? Kerana saya ingin membuat kajiatentang Maahad Johor ini

    ReplyDelete